Wednesday, June 19, 2013

Primadona Filem Melayu Dato’ Sarimah Ahmad Di Anugerah Tokoh Seniman 2013.

// //
Dato' Sarimah menerima Anugerah Tokoh Seniman 2013 daripada Dato' Seri Nazri.

“Sejak bergelar pelakon, saya tidak pernah harapkan apa-apa anugerah. Siapa sangka tahun ini saya diberikan anugerah ini? Ia memang tidak dijangka langsung,” kata primadona filem Melayu era 60-an, Datuk Sarimah Ahmad yang dianugerahkan Tokoh Seniman 2013 sempena Hari Seniman 2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seniwati yang mula mencipta nama menerusi filem Ali Baba Bujang Lapuk ketika berusia 17 tahun itu menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam majlis berkenaan.
Sarimah yang kini berusia 71 tahun ketika ditemui berkata, anugerah itu membuktikan penggiat filem veteran sepertinya dihargai.

“Saya bersyukur kerana kerajaan sangat prihatin dengan nasib penggiat seni veteran. Alhamdulillah, mudah-mudahan apa yang kita minta akan diberi perhatian dan dipenuhi. Cuma, saya bercakap bagi pihak kawan-kawan berkaitan isu royalti.

“Ketika mula-mula berlakon dulu, saya terima gaji tak sebanyak mana. Sekarang filem saya berkali-kali ditayangkan di kaca TV dan boleh dikatakan setiap hari, tetapi kutipan royaltinya tiada. Mudah-mudahan perkara ini dapat diatasi nanti,” katanya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Kedua pada 1981 menerusi filem Dia Ibuku.

Penganugerahan itu turut membolehkan Sarimah membawa pulang wang
tunai berjumlah RM30,000, songket dan sijil penghargaan.

Anugerah itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan insan seni terutamanya pada era Studio Jalan Ampas, Singapura yang menjadi perintis kepada industri filem tempatan hari ini.

Seniwati yang dilahirkan pada 28 April 1942 di Pulau Rusa, Pekan, Pahang ini diakui mempunyai bintang yang bersinar dalam lakonan. Antara filem lain yang menaikkan namanya ialah Ibu Mertuaku, Madu Tiga, Tiga Abdul, Kanchan Tirana, Dr Rushdi dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Malam gemilang buat Sarimah ini turut menyaksikan kehadiran rakan-rakan lamanya iaitu legenda bintang filem Melayu seperti Datuk Mustapha Maarof dan Mariani. Hadir sama, artis terkenal tanah air seperti Datuk M Daud Kilau, Datuk Andre Goh, Datin Tiara Jacquelina, Vanidah Imran, Ifa Raziah, Zed Zaidi, Julia Zigler, Imuda dan Sharifah Shahira.

Segmen persembahan antaranya nyanyian daripada Datuk Andre Goh dan Saleem turut ditampilkan. Paling menarik ialah rang­kaian sketsa daripada babak filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Madu Tiga dan Tiga Abdul lakonan Erma Fatima, Ifa Raziah dan Nas Adila berjaya mencuit hati semua yang hadir.

Dalam pada itu, Sarimah menafikan sudah bersara daripada aktiviti lakonan. Bagaimanapun, dia me­ngakui dengan faktor usia­nya sekarang, dia cuba untuk beralih bidang kepada perniagaan.

“Memang ada tawaran tapi dalam keadaan begini saya tak larat nak kejar masa. Namun saya tak menafikan susah nak kikis kerinduan terhadap dunia seni. Apapun sekarang saya nak buat sesuatu yang boleh menolong orang lain,” kata­nya yang kini menjadi Pengerusi Primadona Worlwide yang mengeluarkan produk makanan kesihatan.

Sementara itu, Mohamed Nazri dalam ucapannya mengakui membesar pada era kegemilangan Sarimah sebagai pelakon dan begitu meminati seniwati berkenaan.

“Sarimah mempunyai kejelitaan semula jadi. Saya gembira dapat berjumpa dengannya dan idola saya, Mustapha Maarof. Saya juga gembira dapat jumpa Saleem kerana saya antara peminatnya.

“Saya juga melihat Hari Seniman patut dianjurkan selama tiga hari kerana nak bagi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman program ini. Tahun depan patut diadakan selama tiga hari, bukannya sehari saja seperti sekarang. Banyak pengisian lain boleh dibuat seperti nyanyian lagu pop yeh yeh,” katanya.

Menurutnya, penggiat seni yang ada perlu dihargai kerana biarpun ada pepatah mengatakan patah tumbuh hilang berganti, pengganti­nya tidak sama seperti yang asal.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM130,000 kepada 13 persatuan anak seni Malaysia termasuk KARYAWAN, SENIMAN dan PAPITA.

Selain itu, beliau turut memberi sumbangan ihsan berjumlah RM10,000 kepada keluarga pelakon veteran Allahyarham S Shamsuddin dan Latifah Omar yang meninggal dunia, baru-baru ini.